|
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah bersama Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor serta Jamil Khir Baharom (empat dari kiri) ketika menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1435H/2013M Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Musthapa serta dua Tokoh Maal Hijrah, Dr. Zakir Abdul- Karim Naik dan Abdul Hamid Zainal Abidin. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN |
PUTRAJAYA 5 Nov. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melahirkan kegusaran berhubung tindakan pihak tertentu sejak kebelakangan ini yang mahu menghakis dan mengganggu-gugat semangat "kebersamaan dalam kepelbagaian" dalam kalangan rakyat.
Seri Paduka bertitah, pelbagai isu sensitif dan slogan cuba dicanangkan walaupun setiap rakyat tahu dan memahami bahawa menjadi tanggungjawab bersama dalam menjaga kepentingan perpaduan dan keamanan negara.
Tuanku Abdul Halim bertitah, kesemua tindak tanduk juga haruslah mencerminkan bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat yang memegang amanah untuk menjaga keharmonian negara dan bukan sebaliknya.
"Beta ingin mengingatkan rakyat supaya tidak melihat isu mutakhir di negara ini sebagai isu remeh dan dipandang sebelah mata.
"Isu-isu membabitkan perubahan nilai hidup sehingga tidak dapat membezakan antara yang benar dengan salah, penghinaan terhadap institusi agama dan raja serta pembelaan hak asasi tanpa sempadan, jika tidak diatasi akan menjurus kepada kehancuran masyarakat dan negara," titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah demikian semasa merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1435H/2013M Peringkat Kebangsaan dengan tema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Presiden Yayasan Penyelidikan Islam, Mumbai (India), Dr. Zakir Abdul-Karim Naik.
Sehubungan itu, Tuanku Abdul Halim bertitah, cukuplah sampai di sini sahaja masyarakat negara ini dikelirukan dengan pelbagai kecelaruan nilai yang tiada berkesudahan kerana tindakan itu hanya akan membinasakan ummah.
"Kita perlu bangun dan menoleh sejenak ke belakang bagi menilai semula kesilapan untuk diperbetulkan.
"Janganlah kita benarkan kecelaruan nilai berkembang dalam masyarakat kita, sebaliknya usaha bagi menerapkan nilai-nilai kebersamaan perlu diteruskan tanpa mengenal musim dan sentiasa dijadikan agenda negara," titah Seri Paduka.
Dalam konteks ini juga, Seri Paduka mengingatkan rakyat supaya tidak membawa budaya assabiyyah dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, rakyat sebaliknya perlu memahami konsep 'penerimaan dan kebersamaan' yang menunjangi kesejahteraan hidup.
"Marilah kita bersikap sederhana dalam kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,'' titah baginda.
Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat Malaysia perlu mengamalkan amalan wasatiyyah atau kesederhanaan supaya usaha memperkukuhkannya dapat dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya kepada generasi muda yang menjadi asas kepada kesinambungan masyarakat dan kemajuan negara.
"Usaha memperkukuhkan kefahaman ini perlu melibatkan seluruh agensi kerajaan tanpa pengecualian termasuk media massa sebagai suatu platform yang amat strategik," titah Seri Paduka.
IHSAN UTUSAN.COM.MY
Admin : Daulat Tuanku!
Salam Maal Hijrah 1435H. Semoga kita semua berhijrah kepada amalan yang lebih baik. Kurangkan Gula, Lebihkan Manis Dalam Senyuman...