Saturday, 7 June 2014

#WorldCup2014 : Sejarah Piala Dunia #Piala Dunia 2014

Piala Dunia (Bolasepak) dan Bola Rasmi tajaan Adidas, 
pengeluar peralatan sukan terkemuka dunia

Sejarah Piala Dunia disusur kembali pada 1930, apabila buat kali pertama ia diadakan di Montevideo, Uruguay, selepas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada ketika itu, Jules Rimet (nama asal trofi Piala Dunia) berang kerana sukan bola sepak digugurkan dari Sukan Olimpik musim panas.
Dia mengambil keputusan untuk mempromosikan kembali sukan tersebut dengan mengadakan satu kejohanan antarabangsa, di mana format Piala Dunia pada ketika itu sangat berbeza kerana hanya melibatkan 13 pasukan tanpa sebarang pusingan kelayakan.
Penganjuran kali pertama tidak banyak melibatkan negara Eropah, namun ia dianggap berjaya dengan tuan rumah pada ketika itu, Uruguay muncul juara di depan 93,000 penyokong sendiri.
Kejohanan ini kemudiannya berpindah ke Eropah pada 1934 dan 1938 dengan menyaksikan Itali muncul juara dua kali berturut-turut, sebelum ia dihentikan buat sementara waktu kerana Perang Dunia Kedua.
Kejohanan kembali pada 1950

Pasukan Bolasepak Brazil 1950


Piala Dunia kembali pada 1950 apabila ia diadakan di Brazil, di mana pasukan tuan rumah tewas kepada Uruguay dalam perlawanan akhir yang mencatat rekod jumlah kehadiran penonton seramai 200,000 orang di Stadium Maracana, Rio de Janeiro dan perlawanan tersebut dikenali sebagai 'Maracanzo'.
Kejohanan tersebut juga menyaksikan buat kali pertama pasukan England mengambil bahagian apabila sebelum ini mereka menarik diri dari menyertai FIFA kerana perbezaan politik dan acara bola sepak itu sendiri sebelum kembali pada 1946.
England merupakan salah satu pasukan terbaik di dunia ketika itu, namun mereka tewas kepada Amerika Syarikat 0-1 di peringkat kumpulan serta gagal mara ke pusingan seterusnya.
Hanya 13 pasukan yang berkunjung ke Brazil apabila tiga pasukan menarik diri termasuk India, yang mahu beraksi dengan hanya berkaki ayam tetapi ditolak kerana melanggar peraturan, manakala Scotland dan Turki pula membatalkan hasrat kerana masalah kewangan serta kesukaran untuk ke negara Amerika Selatan itu.

Trofi baharu pada 1974
Piala Dunia 1974 yang diadakan di Jerman Barat adalah penampilan pertama trofi baharu yang digunakan sehingga sekarang, selepas trofi lama yang sebelum itu pernah dicuri dan dijumpai semula, diserahkan kepada Brazil secara tetap selepas muncul juara sebanyak tiga kali pada 1958, 1962 dan 1970.
Penambahan pasukan bertanding - 1982 & 1998
Kejohanan diteruskan setiap empat tahun sekali tanpa perubahan besar sehingga pada 1982 ketika Sepanyol menjadi tuan rumah.
Pada 1982 format telah ditukar dengan pasukan yang bertanding ditambah sebanyak 24 negara buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia, ia diteruskan sehingga 1998, di mana sekali lagi kejohanan tersebut ditambah bilangan penyertaannya kepada 32 pasukan.

Masa Depan Piala Dunia

Juara Piala Dunia 2010 Sepanyol

Piala Dunia diteruskan dengan penganjuran empat tahun sekali melibatkan 32 pasukan dan kali terakhir ia diadakan adalah pada 2010 di Afrika Selatan yang menyaksikan Sepanyol muncul juara buat kali pertama dan ia juga kali pertama diadakan di benua Afrika.
Tahun ini Piala Dunia kembali ke Brazil, walaupun persiapan mereka diganggu dengan masalah infrastruktur dan masalah demonstrasi rakyat yang menganggap penganjuran kali ini sangat membazir.
FIFA telah mengambil langkah untuk mempromosikan sukan tersebut di negara baharu, termasuk Rusia yang akan menjadi tuan rumah pada 2018. Ia dianggap sebagai Piala Dunia pertama yang diadakan di dua benua melihat kepada saiz negara tersebut.
Piala Dunia 2022 juga akan mencipta sejarah kerana kali pertama diadakan di Timur Tengah dengan Qatar bakal menjadi tuan rumah, namun penganjuran itu sudah berdepan dengan isu lokasi, suhu yang mampu mencecah sehingga 50 darjah Celcius.

ihsan UTUSAN


Monday, 19 May 2014

#PRKTelukIntan : PRK Parlimen Teluk Intan : Pertandingan Satu Lawan Satu


TELUK INTAN 19 Mei - Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ibrahim Ahmad membuat pengumuman itu di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak pada pukul 10.21 pagi ini.
Beliau berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada Siew Keong pada 9.05 pagi dan daripada Dyana Sofya pada 9.08 pagi.
Proses penamaan calon yang dibuka sejak 9 pagi tadi berjalan lancar dan ditutup tepat pada 10 pagi.


Siew Keong, 53, yang berpakaian baju kemeja berlogo BN dan 1Malaysia diiringi ke pusat penamaan calon oleh penyokong BN yang diketuai Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 8.45 pagi.
Dyana Sofya, 27, yang berbaju kurung hijau muda pula diiringi kedua ibu bapanya iaitu Mohd. Daud Ismail dan Yamani Samat serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada 8.55 pagi.
Antara pemimpin BN yang hadir ialah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir luar negara layak mengundi pada PRK itu dengan pengundian awal pada 27 Mei ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei. - BERNAMA



Thursday, 15 May 2014

#FLORIAPutrajaya2014 : Begonia, Bunga Tema Floria Putrajaya 2014



FLORIA Putrajaya – Festival bunga dan taman yang dinanti-nantikan di Malaysia akan kembali menemui anda pada tahun ini dengan menghidangkan pelbagai jenis flora yang berwarna-warni dan menarik di luar imaginasi anda.  Bertemakan ‘Pesona Warna’, FLORIA Putrajaya 2014 menjanjikan pameran bunga-bungaan dari pelbagai spesis yang disusun atur di dalam taman-taman yang direka khas.  Bunga Begonia atau asam batu yang  berasal dari iklim lembap subtropika dan tropika  telah dipilih sebagai bunga tema Festival Bunga dan Taman Putrajaya mulai 14 hingga 22 Jun 2014.

TUANKU Hajah Haminah tertarik dengan gubahan bunga mawar selepas berkenan merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012) di Presint 2, Putrajaya, semalam. - BERNAMA


Memandangkan ini adalah kali ketujuh acara ini diadakan, Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pihak penganjur sedang membuat persiapan untuk mempersembahkan satu pameran yang lebih besar dan lebih baik buat pengunjung di tapak baru dan kekal di Pesisiran Tasik, Presint 4.
FLORIA Putrajaya 2014 akan mempamerkan reka bentuk dari peserta antarabangsa yang terdiri daripada pereka taman, pereka gubahan bunga serta Pertubuhan/ Persatuan Floral Antarabangsa.  Selain mempamerkan reka bentuk taman dalaman dan taman luaran, pelawat diberi peluang untuk menikmati kreativiti dan kepakaran pereka landskap tempatan dan antarabangsa melalui lebih daripada 80 rekaan taman luar oleh agensi-agensi kerajaan , badan-badan korporat, sektor swasta, persatuan-persatuan, universiti serta sekolah menengah dan rendah.
Antara kelainan yang akan dibawakan di Floria 2014 ini adalah “Taman Bertema” di mana peserta pameran taman akan diberi tema rekabentuk seperti  Taman Perkahwinan, Taman Bandar, Taman Pereka, Taman Fantasi, Taman Futuristik, Taman Melawat Malaysia dan Taman Piala Dunia.
Lagi maklumat tambahan di SINI

Admin : Marilah kita membawa keluarga dan orang tersayang ke Festival Floria Putrajaya 2014. Banyak aktiviti yang menunggu kita, selain kecantikan gubahan dan aturan flora yang pasti menggamit hati para pengunjung semua...

#CheTaSuamiCiumDepanEiffel : Rozita Dan Zain Tunjuk Gambar Bercium Di Paris Pula

BELUM pun reda isu gambar ‘mesra’ pasangan Zain Saidin dan Rozita Che Wan atau Che Ta di atas katil baru-baru ini, muncul satu lagi gambar yang tidak kurang kontroversinya.
Gambar yang dimuatnaik Che Ta itu memperlihatkan kedua-duanya sedang bercumbuan di hadapan Eiffel Tower di Paris.

Gambar Rozita dan Zain mendapat kritikan peminat.
Ia sekaligus mewujudkan dua blok di kalangan pengikutnya di akaun Instagram.
Ada yang menyokong dengan menganggap ia perkara yang halal untuk dilakukan oleh suami-isteri, manakala ada yang membantah atas alasan kemesraan suami-isteri perlu ada batasnya pada pandangan umum.

Gambar Zain Saidin dan Rozita Che Wan bercumbu.
Hmm..bagi kami pula, tak salah jika hendak mempamerkan kasih-sayang antara suami-isteri kepada umum.
Tetapi berpada-padalah mengikut adat, budaya dan agama kita yang cukup menekankan ciri-ciri kesopanannya.
Rasanya, kalau tak tunjuk adegan mesra pun, orang luar tahu Zain dan Che Ta memang sedang ‘mabuk’ diulit cinta…tak gitu?-mynewshub

Admin : Kita ini orang timur, kaya dengan adat budaya orang timur... Cium-cium di tempat awam, bukan adat kita... Balik rumah, bermesralah... Lagi satu, tidak perlu kepada menunjukkan kemesraan kita kepada orang ramai... Apa-apa pun, admin suka mereka sudah bernikah dan kasih sayang wajib diantara suami dan isteri, cuma...

#BNTerengganuKekal : Tiada Pembubaran DUN, BN Masih Kekal Perintah Terengganu – MB


Kuala Terengganu – Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkan tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah Terengganu.
Katanya, BN kekal mentadbir Terengganu dengan 17 kerusi DUN berikutan ketidak kesahihan peletakan jawatan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetip kad perakam waktu tepat jam 7.45 pagi ini dan secara rasmi memulakan tugas sebagai ketua eksekutif baharu kerajaan negeri Terengganu. -bharian