Tuesday, 6 August 2013

Saingan Rebut Gelaran Dunia Antara Chong Wei, Lin Dan - Rashid Sidek


GUANGZHOU, 6 Ogos (Bernama) -- Kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia di sini akan pasti menjadi pertarungan antara jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan mush tradisinya Lin Dan dari China, demikan pendapat ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.

Beliau berkata Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan pilihan pertama kejohanan, serta Lin Dan yang juga juara dunia empat kali, berada pada kelas tersendiri berbanding pemain lain bagi merebut mahkota kejuaraan tersebut.

"Kalau ada pun pemain yang boleh memberi tentangan kepada Chong Wei dan Lin Dan adalah (pilihan kedua) Chen Long (dari China). Standard permainan (pilihan ketiga) Du Pengyu belum dapat menyaingi Chong Wei dan Lin Dan," katanya ketika ditemui pemberita di sini Selasa.

Rashid percaya Chong Wei, yang memburu kejuaraan sulungnya pada kejohanan berkenaan, berpeluang meraih gelaran tersebut walaupun bakal diberi tentangan terutama daripada barisan pemain China diketuai Lin Dan.

"Banyak yang boleh terjadi. Kita jangkakan pemain ini boleh menang, tetapi sebaliknya. Saya percaya Chong Wei ada kelebihan untuk memenangi kejuaraan ini," katanya.

Pada pusingan kedua esok, Chong Wei akan berdepan pemain muda Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka.

Selain Chong Wei, Malaysia turut mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan lelaki pada pusingan kedua iaitu Chong Wei Feng, pilihan ke-15 kejohanan yang akan bertemu pemain Ukraine, Dmytro Zaradsky manakala Liew Daren berdepan pemain Singapura, Derek Wong.

Mengenai prestasi Wei Feng dan Liew, Rashid berkata kedua-dua pemain itu perlu lebih fokus dalam pertemuan esok kerana berdasarkan prestasi pada pusingan pertama semalam, ada kalanya mereka hilang tumpuan.

Rashid berkata kedua-dua pemain berkenaan perlu mengelak daripada melakukan kesilapan dan perlu memperbanyakkan corak permainan menyerang.

-- BERNAMA

Mr. Bell : MALAYSIA BOLEH! DATUK LEE CHONG WEI, BOLEH!

No comments :

Post a Comment