Tan Sri Dr. Abdullah Bin Md Zin (4 dari kiri), bersama wakil agensi-agensi yang terlibat
dalam menjayakan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2014
(gambar ihsan ob21.net)
Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Jabatan Perdana Menteri
dengan kerjasama NGO iaitu Sekretariat Islam Nusantara (SUTERA), Persatuan
Generasi Bestari (G-BES) dan media sosial MyKMU.Net akan menganjur sebuah Seminar
Antarabangsa yang bertajuk “Penghayatan Wasatiyyah dalam Kerangka Maqasid
Syariah”. FELDA adalah penaja utama program seminar ini. Seminar ini akan
berlangsung selama 3 hari iaitu dari 8 hingga 10 April 2014, bertempat di Grand
Ballrom Menara FELDA, Platinum Park, Kuala Lumpur.
Tan Sri Dr. Abdullah Bin Md Zin, Penasihat Agama Kepada YAB
Perdana Menteri merangkap Pengerusi IWM, memberi kenyataan tentang seminar
antarabangsa kali ini akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun
Hj. Abd. Razak, Perdana Menteri Malaysia,yang mana beliau juga adalah Penaung
IWM. Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri
Jamil Khir Bin Haji Baharom akan membuat penutupan kepada seminar ini.
Antara objektif pengacaraan seminar ini adalah untuk
menyokong dan menyemarak kefahaman Wasatiyyah dalam pelbagai bidang bagi
memberi sumbangan terhadap pembangunan negara, memperkasakan Malaysia ke arah
menerajui pendekatan Wasatiyyah di peringkat serantau dan antarabangsa dan mengukuhkan
kefahaman masyarakat tentang kepentingan maqasid syariah sebagai asas
penyelesaian permasalahan umat.
Seminar ini akan menampilkan para pembentang kertas kerja
dari dalam dan luar negara, terdapat 11 kertas kerja akan dibentangkan. “Saya
sendiri akan membentangkan satu ucap utama yang bertajuk, Penghayatan Wasatiyyah Dalam Pentadbiran Malaysia”, ujar Tan Sri
Dr. Abdullah.
Antara intelektual muslim dari Timur Tengah yang akan hadir
untuk membentang kertas kerja ialah Ybhg. Prof. Dr. Muhammad Abdul Fadhil
Al-Qusiy (Mantan Menteri Wakaf Mesir), YBhg. Prof. Dr. Muhammad Khalifah Hassan
Ahmad Khalifah (Pengarah Pusat Wasatiyyah Islam dan Pembangunan Al-Qardhawi,
Qatar), Prof. Dr. Ahmad Hulaiyil (Ketua Hakim Syarie, Jordan), YBhg. Dr. Adil
Abdullah Al-Fallah (Timbalan Menteri Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam
Kuwait) dan YBhg. Prof. Dr. Mahmod Abdul Rahman Qadah (Timbalan Rektor
Universiti Islam Madinah, Arab Saudi).
YBhg. Tan Sri Dr. Abdullah Bin Md Zin berharap seminar
antarabangsa yang akan diadakan ini menjadi pemangkin kepada usaha semua pihak
untuk melebarkan kefahaman pendekatan wasatiyyah kepada masyarakat seluruhnya,
beliau juga mensasarkan lebih 500 peserta menyertai seminar antarabangsa kali
ini.
Sebarang informasi mengenai seminar ini boleh didapati di
laman sesawang www.iwm.org.my atau hubungi
di talian 03 – 8872 3522 atau faksimili 03 – 8888 3121.
No comments :
Post a Comment