Tuesday 18 March 2014

#drugFMFA2014 : Ambil Dadah Berlebihan: Jumlah Penonton Konsert Dirawat 14 Orang

KUALA LUMPUR 16 Mac - Jumlah mangsa yang dirawat di hospital akibat pengambilan dadah sintetik secara berlebihan ketika menghadiri konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, meningkat kepada 14 orang.
Ini kerana polis mendedahkan seramai 11 lagi penonton turut mendapatkan rawatan di tiga buah hospital di sini, berbanding tiga semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, mangsa yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya adalah seramai 10 orang, Hospital Kuala Lumpur (3) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (1).
Beliau berkata, kesemua 14 mangsa yang dirawat itu berada dalam keadaan stabil dengan sembilan daripada mereka adalah rakyat Singapura.
Menurutnya, empat lagi mangsa masing-masing rakyat Malaysia, Taiwan, Iran dan Myanmar. Warganegara seorang lagi mangsa belum diketahui.
"Seorang daripada sembilan mangsa warga Singapura yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah dibenarkan keluar pagi ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas tentang jumlah kematian akibat pengambilan dadah itu, Mohan Singh memberitahu, tiada kematian terbaru dilaporkan dan jumlah mangsa yang meninggal dunia masih kekal enam orang.
Semalam Mingguan Malaysia melaporkan enam penonton konsert maut akibat pengambilan dadah berlebihan. Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22; Sabreena Kamarudin, 21; Syazana Sohaime, 23; Victor Wong E Hern, 26; Faizza Mohd. Wazir, 27; dan M. Suresh, 28.
Susulan kejadian itu, polis membatalkan hari ketiga iaitu kemuncak konsert tersebut yang dijadualkan berlangsung di lokasi sama semalam.
Tambah Mohan Singh, sebanyak 29 penonton telah ditangkap berkaitan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di konsert berkenaan.
"Seramai 13 orang adalah warga tempatan dan 16 lagi warga asing yang hadir menyaksikan konsert berkenaan," katanya.


ihsan utusan.com.my




Admin : Pihak berkuasa perlu menyiasat dan menangkap anasir-anasir yang telah mengedarkan dadah kepada pemuda-pemudi yang berlibur di konsert tersebut. Pihak penganjur konsert ini juga perlu di senarai hitamkan oleh pihak berkuasa, kerana kecuaian dan kelemahan aspek-aspek keselamatan. Malaysia adalah hub pelancongan yang terbaik di Asia, tetapi kita tidak perlu membiarkan anasir-anasir budaya kuning daripada Barat menyelinap ke dalam budaya ketimuran kita. KITA TIDAK PERLU KEPADA HIBURAN TERLAMPAU.

No comments :

Post a Comment