Tuesday, 18 March 2014

#PRKBalingian : Pastikan Penduduk Balingian Turun Mengundi

MUHYIDDIN Yassin bersama calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian, Yussibnosh Balo (lapan dari kanan) pada hari penamaan calon PRK itu di Mukah, Sarawak semalam. Turut serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (enam dari kiri), Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kiri), Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri), Ketua Pemuda BN negeri, Datuk Fadillah Yusof (tiga dari kiri) dan para pemimpin komponen BN.


MUKAH 17 Mac - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Pemuda dan Wanita parti komponen itu mengambil tanggungjawab memastikan 13,366 pemilih berdaftar turun mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian 29 Mac ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua pergerakan yang diketuai Ketua Pemuda BN negeri, Datuk Fadillah Yusof dan Timbalan Ketua Wanita BN negeri, Datuk Fatimah Abdullah harus memastikan BN terus menang dalam pilihan raya kali ini.
Katanya, lebih utama bagi seluruh jentera BN memastikan parti sedia ada itu memperoleh kemenangan yang hebat dan cemerlang berbanding sebelum ini.
"Tanggungjawab kesemua jentera daripada 29 cabang DUN Balingian adalah memastikan calon kita iaitu Yussibnosh Balo memperoleh undi yang besar.
"Masyarakat Balingian harus ingat apabila BN menang dalam pilihan raya kali ini, kita akan menyediakan lebih banyak pembangunan untuk kemudahan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Jentera Pemuda BN sempena PRK DUN Balingian di Padang Majlis Daerah Mukah di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 2,000 jentera Pemuda dan Wanita BN Sarawak hadir mengiringi calon BN, Yussibnosh Balo serta beberapa barisan pemimpin Pusat dan negeri ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini.
Dalam majlis santai yang bermula pukul 11 pagi itu, Muhyiddin turut mengingatkan kesemua jentera supaya tidak terlalu yakin hingga tidak bersungguh-sungguh ketika membantu calon berkempen.
Katanya, setiap undi daripada pemilih berdaftar itu sangat penting kerana hanya melalui tindakan tersebut membolehkan BN terus berkuasa di Balingian.
"Dalam memastikan kempen kali ini berjaya, Pemuda dan Wanita BN Sarawak perlu bergerak sebagai satu pasukan dan bertemu dengan semua penduduk bagi menunjukkan BN sebuah parti yang bersatu.
"Saya akan datang sekali lagi ke sini bagi menyokong dan membantu pemimpin dan jentera BN negeri dalam tempoh kempen ini," katanya.



Ihsan Utusan.com.my

No comments :

Post a Comment