Friday 17 January 2014

#GiatMara : KHALID JANGAN PUTAR BELIT


SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya tidak memutarbelitkan kenyataan kononnya kerajaan negeri sedia memberi pertimbangan kepada pihak pengurusan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru meneruskan operasinya.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN), Datuk Seri Noh Omar berkata, kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan arahan dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak menerusi sepucuk surat bertarikh 28 November 2013 kepada pengurusan GiatMara terbabit.
Berdasarkan surat tersebut katanya, PTD Gombak mengarahkan mereka mengosongkan pusat latihan itu dalam tempoh setahun.
“Dalam surat itu tidak pula disebut keputusan kerajaan negeri untuk memberi pertimbangan kepada pihak pengurusan GiatMara meneruskan operasi mereka di tapak terbabit dengan syarat segala kemudahan diberi penambahbaikan.
“Begitu juga dalam surat kedua yang dikemukakan PTD Gombak kepada pengurusan GiatMara terbabit pada 2 Disember 2013 yang mana pertimbangan untuk memberikan peluang kepada pusat latihan itu kekal menjalankan operasi juga tidak dinyatakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MTPN di sini hari ini.
Semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri, Abdul Khalid memberi pilihan kepada pengurusan GiatMara di Taman Selayang Baru yang diarah tutup atas alasan dibina tanpa kebenaran untuk terus beroperasi dengan syarat kemudahan di situ diperbaiki.
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebelum ini mengarahkan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini menerusi sepucuk surat yang dikemukakan PTD Gombak kepada pengurus pusat latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkenaan bertarikh 2 Disember 2013.
Dalam surat tersebut, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus pusat latihan itu untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pengurusan pusat latihan terbabit tanpa sebarang notis atau ganti rugi di bawah Kanun Tanah Negara 1965.
Dalam pada itu, Noh mencabar kerajaan negeri mengeluarkan arahan baharu secara rasmi bagi membolehkan GiatMara memohon pusat latihan kemahiran itu terus kekal di lokasi berkenaan.
“Kalau kerajaan negeri ikhlas nak tolong GiatMara, mereka perlu buat arahan baharu supaya ada pertimbangan kepada pusat latihan itu untuk memohon tapak tanah berkenaan.
“Kerajaan negeri perlu kenang jasa serta sumbangan GiatMara di situ selama lebih 20 tahun kepada rakyat,” ujarnya.

Ihsan Obey_one

No comments :

Post a Comment