Tuesday 22 October 2013

Ahmad Sohaimi calon Barisan Nasional #prksglimau #drsohaimi4dunsglimau #bn4dunsglimau #dunsglimau #BN

MUHYIDDIN Yassin bersama Mukhriz Mahathir serta Ahmad Maslan (kiri) menjulang tangan calon DUN Sungai Limau, Ahmad Sohaimi Lazim (tengah) dalam majlis memperkenalkan calon BN di Sungai Limau, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

JERAI 21 Okt. - Barisan Nasional (BN) mempertaruh calon anak tempatan, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim yang juga bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 4 November ini.
Pemilihan Ahmad Sohaimi, 52, yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk di kawasan ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis pengumuman calon di Pusat Gerakan BN di Sungai Lentang, Sungai Limau, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, Ahmad Sohaimi yang berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak di sini, mempunyai ketokohan dan cukup berpengalaman bagi menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
"Beliau berkelulusan tinggi, berperwatakan baik serta terlibat dalam parti dengan memegang beberapa jawatan sebelum ini termasuk aktif dengan aktiviti kemasyarakatan di kawasan ini.
"Selain itu beliau juga anak tempatan dan biasa bergaul dengan masyarakat di sini," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman tersebut.
Yang hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai baharu; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan serta kepimpinan BN negeri.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, walaupun tidak mempunyai kelulusan agama namun perkara itu bukan kelemahan kepada calon BN berkenaan selagi beliau dapat memberi komitmen menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.
"Beliau juga warak walaupun tiada kelulusan agama tetapi ada kelulusan lain, jadi kita fikir beliau calon terbaik," katanya menjawab soalan tentang peluang BN menembusi DUN tersebut yang dianggap kubu kuat Pas sejak 1995.
Menyentuh kenyataan sesetengah pihak kemenangan BN tidak membawa banyak kesan kepada kerajaan negeri kerana BN masih gagal mencapai dua pertiga kerusi DUN, Muhyiddin berkata, BN berharap menang supaya dapat melakukan perubahan besar dalam pembangunan di DUN Sungai Limau.
"Kita tidak boleh nafikan Sungai Limau kubu kuat Pas. Lima kali pilihan raya mereka menang tetapi kemenangan BN adalah untuk menentukan satu perubahan besar, anjakan baharu. Saya percaya wakil kita (jika menang) boleh lakukan tugas.
"Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di bawah parti yang sama. Jika wakil rakyat di sini BN, lebih mudah untuk membuat perubahan. Ini yang kita tawarkan," katanya.
Terdahulu, ketika berucap dalam majlis itu, Muhyiddin berkata, walaupun beberapa pihak meminta BN dan UMNO memberi laluan mudah kepada Pas dengan tidak bertanding sebagai menghormati bekas ADUN Sungai Limau, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, BN membuat keputusan bertanding atas faktor demokrasi.
"Proses demokrasi benarkan kita tawarkan diri sekali lagi. Tidak banyak beza antara Pas dan UMNO. Kita berjuang untuk Islam begitu juga dengan Pas," katanya.
Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili Barisan Nasional.
Ini merupakan PRK kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut pada 24 Julai lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131022/po_01/Ahmad-Sohaimi--calon-Barisan-Nasional#ixzz2iPWersvM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments :

Post a Comment