Thursday 7 November 2013

#SPRM #NFC : Projek NFC Jadi Tumpuan SPRM Pada 2012


KUALA LUMPUR: Projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) menjadi tumpuan utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang 2012, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Abu Kassim berkata SPRM mengesan 12 kelemahan NFC dan mengemukakan 12 cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, antara cadangan yang dibuat Kementerian Kewangan ialah supaya menyediakan satu garis panduan standard, jelas serta telus berhubung pinjaman mudah bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif atau keraguan.

"Kementerian Kewangan perlu menyediakan kriteria yang jelas menentukan jumlah sesuatu pinjaman mudah serta memastikan permohonan dibentangjan di peringkat Kabinet terlebih dahulu untuk kelulusan.

"MOA perlu membuat kajian secara mendalam untuk memilih syarikat yang benar-benar kompeten bagi menjalankan projek PFN sama ada daripada aspek kewangan mahupun pengalaman.

"Untuk itu, proses ‘due diligence’ perlu dilaksanakan terlebih dahulu terhadap syarikat yang bakal dipilih," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Abu Kassim berkata SPRM turut mencadangkan supaya semua anggota pentadbiran mengisytiharkan kepentingan sekiranya ahli keluarga terdekat mereka mendapat kemudahan pinjaman daripada kerajaan.

"Mewujudkan agensi yang dipertanggungjawab sebagai agensi penyelaras secara khusus dan rasmi di kalangan agensi yang terlibat dalam projek berimpak tinggi. Agensi yang dipertanggungjawabkan ini perlu memantau dan mengawal selia perkembangan dan perjalanan keseluruhan projek," katanya.

Beliau juga menjelaskan sepanjang 2012, SPRM telah menerima 5,496 aduan berunsur rasuah dan 1,078 Kertas Siasatan (KS) telah dibuka.

Selain itu beliau juga berkata sepanjang 2012 seramai 701 orang telah ditangkap, dan 75 peratus KS berjaya disiapkan dalam tahun semasa.

Abu Kassim berkata kejayaan itu disumbangkan oleh kesan program tranformasi di mana SPRM memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Siasatan Secara Berpasukan (Team Base Investigation).

Selain NFC, SPRM juga memberi tumpuan kepada agihan petak khas bazar Ramadan tahun 2012 di Lorong Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India oleh DBKL.

Pengurusan kewangan dan perolehan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), prosedur tatatertib untuk Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan dan Pegawai Kewangan Kelantan dan penyelarasan pentadbirn pegawai veterinar lantikan persekutuan yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga menjadi tumpuan SPRM pada 2012.

Katanya, pada tahun 2012, seramai 313 orang telah didakwa iaitu melibatkan 33.5% penjawat awam, 53% orang awam, 13% sektor swasta dan 0.5% ahli politik.

Antara ahli politik yang dijatuhkan hukuman adalah Datuk Abdul Rahman Bakri (kini bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam), serta Datuk Md Saberi Md Salleh (bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM).

ihsan Astroawani

Buku Laporan Tahunan SPRM 2012 - Gambar ihsan, The Malaysian Insider
Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kiri) menyampaikan senaskah laporan tahunan SPRM 2012 kepada
Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen, hari ini.
Gambar ihsan, The Malaysian Insider.







No comments :

Post a Comment