Thursday 23 May 2013

Alasan untuk tidak bersalah..



Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga mendakwa penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim merupakan satu pelanggaran terhadap sistem demokrasi di negara ini susulan akta itu dalam proses untuk dimansuhkan.Beliau yang ditemui di luar kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 1 mendakwa pertuduhan Akta Hasutan terhadap Adam Adli itu juga dilihat sebagai pendakwaan terpilih, semata-mata mahu menghukum pihak tertentu sahaja.

“Undang-undang itu tidak relevan digunakan oleh sesiapa dan tidak boleh mengenakan dakwaan kepada sesiapa pun.

“Jangan gunakan sistem keadilan jenayah dan undang-undang ini dengan cara menghukum satu atau dua orang saja.


“…sebab itu kami fikir ia adalah pendakwaan terpilih sekaligus menyalahi sistem keadilan negara ini,” katanya selepas perbicaraan Adam Adli di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, di sini, hari ini.

Adam Adli ditahan di Bangsar Utama pada 18 Mei lalu, kira-kira pukul 3.15 petang di bawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan dan Seksyen 124 B  Kanun Keseksaan.

Beliau direman selama lima hari bermula Ahad lalu dan berakhir pada hari ini.

Adam Adli, 24, disiasat kerana ucapannya pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor 13 Mei lalu.

Penahanannya mendapat bantahan meluas di seluruh negara, manakala nyalaan lilin dilakukan di hadapan Pusat Tahanan Jinjang, tempat Adam Adli ditahan bermula hari pertama sehingga malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran berkata, pendakwaan terhadap Adam Adli itu tidak mempunyai asasnya sambil menyifatkannya sebagai berat sebelah.

“Ia adalah satu dakwaan yang tidak mempunyai asas langsung kerana banyak kes seperti kes bekas hakim Mahkamah Rayuan yang mengeluarkan kenyataan yang serius dan boleh menimbulkan perpecahan kaum, tiada tindakan diambil.

“Akta hasutan perdana menteri pun telah menyatakan akan dimansuhkan tetapi PM Najib masih menggunakan akta hasutan yang zalim dan jahat,” tegasnya.

Oleh kerana itu, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan dakwaan terhadap bekas mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

Naib Presiden PKR, Tian Chua menerusi laman mikro Twitter miliknya memberitahu beliau kini dalam tahanan polis.

Turut ditahan ialah seorang aktivis Haris Ibrahim dalam dua operasi berasingan, lapor Malaysiakini.

Kartunis Zunar turut menulis dalam dalam laman mikro Twitter miliknya mengesahkan penahanan mereka berdua.

Dipercayai penahanan ini berhubung perhimpunan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya pada Sabtu ini.

“Sekarang saya dibawa dalam kenderaan polis (menuju) Balai Polis Jinjang,” tulis Tian menerusi Twitter beliau setengah jam yang lalu.

Beliau ditahan sejurus sebelum melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Menurutnya lagi, polis menahannya berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan.

Sementara Haris yang mengetuai NGO Asalkan Bukan Umno (ABU) dikatakan ditahan oleh lima orang anggota polis ketika sedang makan tengahari di Segambut.

Difahamkan, seorang lagi turut ditahan ialah aktivis Pas, Tamrin Ghafar. Selain Tian dan Haris yang ditahan di bawah Akta Hasutan, Tamrin juga menerima nasib sama. Haris turut berucap dalam forum mengenai dakwaan penipuan pilihan raya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei lalu, di mana aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim turut berucap.Ketiga-ketiga mereka dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Gabungan 50 NGO yang menjadi penganjur acara berkenaan dijangka menampilkan bukti dan saksi mengenai dakwaan penipuan pilihan raya dijangka akan ditampilkan dalam perhimpunan Sabtu ini di padang Amcorp Mall.

No comments :

Post a Comment