Thursday 23 May 2013

KETEGASAN ZAHID HAMIDI DISOKONG....



Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Tajuddin Abdul Rahman menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan bertindak tegas terhadap kumpulan yang melakukan perhimpunan tanpa mendapatkan permit polis.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata tindakan kumpulan terbabit bukan sahaja menjejaskan ketenteraman awam, malah boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi paling dahsyat jika tidak dikawal apabila pelabur asing memindahkan pelaburan mereka ke negara lebih aman, tenteram dan selamat.

Justeru, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas terhadap perhimpunan haram yang dilakukan pemimpin dan penyokong parti pembangkang yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.


“Tindakan mereka ini dianggap mensabotaj pertumbuhan ekonomi negara sekali gus menggamit campurtangan kuasa asing. Kumpulan terbabit hendaklah didakwa dan dijatuhkan hukuman berat sekiranya mereka didapati bersalah melanggar undang-undang peraturan ketenteraman awam sedia ada,” katanya di sini.

Tajuddin berkata banyak program transformasi ekonomi yang akan dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meningkatkan pendapatan negara dan rakyat akan terjejas apabila kadar jumlah pelaburan asing merosot.

Sehubungan itu beliau berharap Ahmad Zahid mengotakan apa yang dikata agar kenyataannya tidak diperlekeh atau diperkecilkan mana-mana pihak terutama pemimpin pembangkang.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan sendiri, beliau mendapati sebahagian besar rakyat pelbagai kaum terutamanya orang Melayu di negara ini bersetuju dengan kenyataan dan tindakan tegas tanpa amaran yang akan dilaksanakan Ahmad Zahid melalui undang-undang sedia ada di bawah KDN.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak mengingatkan penyokong pembangkang supaya bermuhasabah terutama penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar mempunyai jati diri yang tinggi terhadap negara dan menerima sistem demokrasi sedia ada mengikut acuan sendiri

No comments :

Post a Comment