Thursday, 23 May 2013
Insiden Dihalang Menaiki Pesawat: Izan Suhaila Nafi Air Asia Tawar Bantuan
Wanita yang dihalang menaiki penerbangan pulang Air Asia di Ho Chi Minh, Vietnam, Izan Suhaila Mohd Ali, 36, menafikan kenyataan Air Asia yang mendakwa pihaknya sudah menawarkan bantuan tetapi ditolak oleh Izan sendiri.
Izan tampil menerusi Buletin Utama TV3 semalam menyatakan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Berhad, Aireen Omar itu adalah tidak benar sama sekali.
“Kenyataan itu adalah tidak benar, Aireen menyatakan telah menawarkan tempat penginapan tetapi kami menolak, tapi sebenarnya tiada apa-apa ‘arrangement’ yang dibuat Air Asia.
“Itu yang saya tak pasti (tentang) kenyataan Aireen, daripada mana info yang dia dapat itu,” katanya.
Aireen sebelum ini menerusi kenyataan medianya menyatakan pihak Air Asia ada menawarkan bantuan penerbangan balik secara percuma selepas bayinya yang berusia 14 bulan, Maryam Sofea Mohd Riza Izan pulih sepenuhnya tetapi mendakwa Izan telah menolak bantuan tersebut kerana dirinya sudah mempunyai apa yang diperlukan sepanjang berada di Ho Chi Minh.
Beberapa individu yang telah melihat insiden berkenaan di lapangan terbang tersebut telah bermurah hati menampung perbelanjaannya sepanjang berada di sana.
“Saya berterima kasih rakan-rakan yang telah menaiki penerbangan Air Asia pada malam itu, memang saya sangat tersentuh hati, yang mana dia tak kenal saya, saya pun tak kenal dia…terima kasih banyak-banyak. Dengan ‘donation’ itu, kami dapat cari hotel, beli susu,” jelasnya lagi dalam nada sebak.
Sementara itu, Aireen tetap dengan kenyataan medianya sebelum ini mengatakan bahawa Air Asia telah menawarkan bantuan tetapi ditolak oleh Izan dan pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh wanita tersebut.
Aireen berkata Air Asia terpaksa mematuhi piawaian antarabangsa yang melarang penumpang menaiki pesawat jika penumpang itu menghidap penyakit berjangkit atau tidak mendapat pengesahan dari doktor.
Aireen juga menambah Air Asia akan berjumpa dengan keluarga Izan dalam masa terdekat ini untuk meleraikan segala kekusutan yang timbul daripada insiden terbabit.
Sabtu lalu, Izan dan bayinya, Maryam dilarang menaiki penerbangan pulang Air Asia dari Ho Chi Minh ke Malaysia selepas Maryam dikatakan masih belum sihat dari demam campak sedang hakikatnya anaknya itu sudah sembuh dan tidak membahayakan penumpang lain.
Mereka kemudiannya mendapat ihsan daripada orang awam yang melihat insiden terbabit dan kemudiannya di bawa pulang dengan menaiki pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bersama dua ahli keluarganya yang lain.
Oleh: AUDREY LEE
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment