Wednesday 17 July 2013

Pilih Wakil Rakyat Yang Utamakan Rakyat Bukan Minat Berniaga - Muhyiddin

KUALA BESUT, 16 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi Kuala Besut membuat pilihan tepat pada pilihan raya kecil 24 Julai ini untuk mengangkat wakil rakyat yang memberi keutamaan berkhidmat untuk rakyat.

Beliau berkata selepas meneliti video di internet jelas calon PAS Endot@Azlan Yusof lebih berminat untuk menjadi seorang ahli perniagaan berbanding menjadi wakil rakyat.

Berdasarkan video itu, katanya, jelas calon lebih fokus kepada bidang perniagaan kerana sanggup mengupah pekerja untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Beliau (calon PAS) disuruh jadi calon tapi berminat untuk berniaga, kita tidak boleh halang, tapi yang jadi keutamaan adalah pengundi dan rakyat di kawasan," katanya.

"Mungkin sebab kesilapan itu dia tidak dibenar beri kenyataan," katanya ketika diminta mengulas mengenai calon PAS yang dilaporkan dibataskan daripada mengeluarkan kenyataan kepada media.

Pada 24 Julai ini, Azlan, seorang ahli perniagaan akan berhadapan bekas jurutera anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Muhyiddin berkata pengumuman projek di Kuala Besut bukan atas sebab PRK Kuala Besut namun ia adalah perkara yang telah lama dirancang dan hanya perlu menunggu peruntukan diluluskan.

Menurutnya perkara itu bukan baru kerana ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu kerajaan maklumkan kepada rakyat.

Dalam pada itu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika ditanya pada sidang media yang sama berhubung pengambilan tanah rakyat oleh kerajaan berkata perkara itu tidak berasas.

Beliau berkata ketika PAS memerintah tahun 1999-2004 banyak tanah kerajaan diserahkan kepada rakyat tanpa melalui kelulusan Jabatan Tanah.

"PAS semasa memerintah banyak memberi tanah kepada penduduk tanpa melalui pejabat tanah sebab itu kerajaan ada peraturan setiap pemohonan tanah mesti melalui beberapa proses di pejabat tanah...parti tidak ada hak beri tanah," katanya.

Baru-baru ini PAS mendakwa kerajaan BN Terengganu merampas dan meroboh beberapa rumah yang dibina di Kampung Lay Out, Tok Saboh, bagi kerja pembinaan pangsapuri 72 unit yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Sabtu lalu.

Yang Dipertua PAS Besut Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa tanah lot perumahan di situ diberikan kerajaan Terengganu yang ditadbir PAS pada 1999 hingga 2004.

-- BERNAMA

Mr. Bell : Adakah kita (pengundi dan penduduk Kuala Besut) mahu Wakil Rakyat yang sibuk dengan perniagaannya? Ataupun Wakil Rakyat yang memang betul-betul bersedia menjadi Juara Rakyat, Suara Rakyat dan Wakil Rakyat, memberikan segala usaha dan tumpuan kepada keperluan dan kehendak rakyat?

No comments :

Post a Comment